Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

Kemasukan Semula Pelajar Ke Kampus Kejuruteraan

NIBONG TEBAL, 30 Mac 2021 – Bermula 1 Mac 2021, pelajar telah dibenarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk pulang ke kampus masing-masing secara berperingkat. Antara kategori pelajar yang dibenarkan memasuki kampus adalah terdiri daripada pelajar yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas serta pelajar-pelajar yang mempunyai masalah akses dan persekitaran yang tidak kondusif untuk pembelajaran di rumah.

Dalam usaha memastikan keselamatan pelajar dan warga USM, pelajar yang memasuki kampus dikehendaki menjalani tempoh pengasingan selama 10 hari di blok penginapan yang disediakan. Pelajar dikehendaki melakukan deklarasi Covid-19 3 hari sebelum pulang ke kampus dan menjalani saringan gejala pada hari pendaftaran di kampus.

Sehingga hari ini, sejumlah 1340 orang pelajar telah berada di dalam kampus bagi meneruskan sesi PdP masing-masing bagi Semester Kedua Sidang Akademik 2020/2021. Sebahagian dari mereka juga adalah pelajar dari tahun satu yang merupakan kali pertama mereka hadir ke kampus ini secara fizikal.

 

Teks: Mazlifendirizan Bin Md Rejab