Permohonan untuk mengikuti program pengajian di USM adalah SECARA TERUS KE USM TANPA MELALUI KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (UPU) bagi IJAZAH PERTAMA.
DASAR UTAMA PENGAMBILAN PELAJAR
Universiti Sains Malaysia menerima permohonan yang sangat tinggi bagi setiap sidang akademik. Permohonan bagi setiap program yang ditawarkan adalah melebihi bilangan unjuran yang disediakan. Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan syarat dan kriteria kemasukan tertentu yang ditetapkan oleh Senat Universiti. Dasar pengambilan pelajar USM merangkumi tiga (3) aspek berikut :
i. MERIT
Mengguna pakai sistem meritokrasi dalam pemilihan pelajar yang mengambilkira 90% akademik dan 10% ko-kurikulum. Kekuatan akademik calon adalah sumbangan terbesar dalam pemeringkatan di mana kombinasi gred mata pelajaran diperingkat STPM/Matrikulasi/ Diploma/Setaraf yang mewakili 90% akademik diambil kira dan sumbangan di dalam bidang sukan / permainan / kelab / persatuan / badan beruniform / Program Latihan Khidmat Negara akan mewakili 10% sumbangan. Penggunaan sistem pemeringkatan lebih berdaya saing, adil, telus dan konsisten.
ii. POTENSI
Kemampuan calon perlu dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja kekuatan akademik, malahan potensi, bakat dan kecenderungan calon perlu diambil kira. Kekuatan mental, watak, minat, kecerdasan dan nilai-nilai diri calon amat penting di dalam sesuatu program pengajian. Calon yang berpotensi dapat mengembangkan dan menyerlahkan bakat supaya menjadi lebih berjaya didalam program mereka dan universiti seterusnya memberi sumbangan kepada masyarakat, bangsa dan negara.
iii. DIVERSITI
Kepelbagaian latar belakang akademik, etnik, budaya, gender, pekerjaan dan tempat tinggal amat penting diambil kira dalam pengambilan sesuatu program pengajian.Ruang dan peluang pengajian kepada calon dari kepelbagaian latar belakang dapat meningkatkan rasa kesatuan di samping memupuk daya saing yang sihat.Keseimbangan dalam kalangan pelajar dari pelbagai latar belakang menjadi pertanda kepada wawasan insani dan nilai integriti sesebuah universiti.
MOHON SEKARANG