30 Julai 2016 - USM Space System Lab (USSL) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia telah berjaya melancarkan Belon Altitud Tinggi (HAB) di Penang Science Cluster (PSC), Georgetown. Pelancaran HAB ini merupakan salah satu acara dalam Program Astronomy Day yang dianjurkan oleh PSC. Kerjasama ini merupakan yang pertama antara USSL dan PSC serta UPM dalam bidang pendidikan angkasa. Objektif pelancaran ini adalah untuk memperkenalkan teknologi Belon Altitud Tinggi dan memberi kesedaran kepada orang awam akan kepentingan teknologi angkasa.
HAB telah dilancarkan pada lebih kurang pukul 10.00 pagi selepas mendapat pelepasan daripada Pusat Kawalan Udara di Butterworth. HAB telah membawa peralatan untuk pengambilan video secara langsung, kamera, sensor dan alat pengesan GPS. Selepas dua jam penerbangan hingga ke altitud 23 km, sistem HAB mendarat di atas laut pada jarak lebih kurang 30km daripada daratan. Pihak Maritim Cawangan Pulau Pinang telah membantu bagi operasi mencari dan menyelamatkan beban bayar HAB.
USSL juga telah membuka meja pameran selama dua hari untuk membolehkan orang awam berinteraksi secara langsung dan melihat pameran sains dan teknologi angkasa. Antara yang dipamerkan adalah replika MYSat, Sistem Belon Altitud Tinggi dan poster mengenai misi angkasa yang berkaitan dengan bidang Astronomi.
USSL berharap untuk menjalankan lebih banyak program ‘outreach’ di masa akan datang untuk memperkenalkan seterusnya mendidik masyarakat akan kebaikan teknologi Angkasa dalam kehidupan.