Pada 26 April 2017 yang lalu, kumpulan Aerial System Robotic (ASRO) telah dijemput untuk mengadakan pameran sempena Karnival Warisan Budaya dan Teknologi, Seni dan Ekonomi Islam Penggerak Ummah yang bertempat di SMKA Mahaad Al Mashor Al Islami Balik Pulau, Pulau Pinang. Pameran yang melibatkan 3 buah pesawat tanpa pemandu (UAV) atau lebih dikenali sebagai drone bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada para pelajar berkaitan bidang robotik penerbangan, sistem kawalan dan aplikasi drone dalam pelbagai bidang seperti fotografi, ketenteraan, pemetaan, bantuan kecemasan dan sebagainya. Berdasarkan sambutan yang diterima, para pelajar dilihat sangat berminat untuk melibatkan diri dalam bidang sistem kawalan robotik. Dr. Elmi bin Abu Bakar selaku penasihat kumpulan ASRO juga telah menghadiri majlis tersebut bersama dua orang pelajar siswazah iaitu saudara Muhammad Zaim bin Mohamed Pauzi dan saudara Muhammad Faisal bin Mahmod.
Penerangan berkaitan drone kepada para pelajar SMKA Mahaad Al Mashor Al Islami Balik Pulau
Pandangan dari udara SMKA Mahaad Al Mashor Al Islami Balik Pulau, Pulau Pinang dengan menggunakan drone
Selain itu, aktiviti-aktiviti seperti pertunjukan penerbangan juga dilakukan dan membuatkan para pelawat teruja kerana dapat melihat teknologi drone secara nyata selain dalam media. Para pelajar juga berkesempatan untuk berswafoto bersama juruterbang dengan menggunakan kamera dari drone.
Para pelajar berswafoto bersama ahli kumpulan ASRO
Text & Photo : Mr.Muhammad Faisal Mahmod & Mr. Muhammad Zaim Bin Mohamed Pauzi