Pada 3 Januari yang lepas, 30 orang penuntut bidang mekatronik dan 5 orang tenaga pengajar dari NSDC telah mengadakan lawatan ke PPK Aeroangkasa. Lawatan ini disasarkan untuk memberi pendedahan teknologi terkini yang dibangunkan oleh pihak PPK Aeroangkasa USM.
Lawatan yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan kepada penuntut khususnya dalam bidang kejuruteraan mekatronik dan bersesuaian dengan matlamat negara yang kini menuju ke arah pencapaian industri 4.0. Lawatan yang diuruskan oleh Prof Madya Dr Elmi Abu Bakar, PPK Aeroangkasa dan En Mohamad Pazli Ismail CEO NSDC Seamao Recsam ini telah bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada 1.00 tengahari.
Setelah selesai taklimat berkenaan Pusat Pengajian yang disampaikan oleh Penyelaras Korporat, Dr Noilmi Amilia Ismail, penuntut dibawa melawat ke makmal makmal penyelidikan iaitu Makmal Mekanik Penerbangan, Makmal Komposit, Makmal ISI, Makmal Aerodinamik 2 dan Hangar.
Di sini mereka diberi penerangan oleh Penolong Jurutera berkenaan kebolehan dan kepakaran staf dan peralatan yang berada di dalam makmal. Bukan itu sahaja, mereka juga dapat memahami fungsi sesuatu mesin dan alatan di dalam makmal hasil daripada demo yang diberikan. Selain itu, mereka juga berpeluang melawat Makmal Robotik dan Automasi di PPK Mekanik. Di sini mereka dapat melihat dan menyaksikan demo alatan terkini yang digunakan untuk pembelajaran dan penyelidikan oleh pelajar di sini.
Semoga dengan hasil kerjasama daripada lawatan ini dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada penuntut NSDC sepanjang pembelajaran dan kerjaya mereka pada masa akan datang.
Text : Engr. Mohamad Zihad Mahmud Photo : Mr Mohd Shukri bin Soaid