Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

Identity@USM

Akaun Identiti USM
Capaian kepada servis-servis berkaitan teknologi maklumat universiti memerlukan pengguna memasukkan identiti dan kata laluan mereka sebelum capaian kepada servis-servis tersebut dibenarkan.

Setiap pelajar USM hanya dibenarkan mempunyai satu akaun identiti peribadi sepanjang tempoh pengajian mereka. Penggunaan akaun ini dalam kalangan pelajar akan melibatkan semua peringkat pengajian semasa di USM, bermula sijil sehingga ke peringkat kedoktoran, termasuk apabila menyambung pengajian pada masa hadapan.

Servis-Servis Yang Ditawarkan
Akaun identiti digunakan untuk mencapai hampir keseluruhan servis-servis berkaitan komputer yang ditawarkan oleh Universiti Sains Malaysia.

Berikut merupakan antara servis-servis yang memerlukan capaian dengan penggunaan akaun identiti:
1.    Wifi USMSecure
2.    E-mel dan portal Office 365
3.    Portal-portal laman sesawang (CampusOnline, Forumwarga, MyCSD dan lain-lain)
4.    Perkhidmatan perpustakaan secara atas talian
5.    Perolehan kepada perisian-perisian komputer
6.    Penggunaan komputer-komputer makmal
7.    Kebenaran memasuki pintu-pintu yang dikawal

Kebanyakan servis-servis yang ditawarkan boleh diperolehi dengan segera, kecuali perkhidmatan Wifi USMSecure dalam tempoh pengaktifan 15 minit dan servis E-mel dan portal Office 365 dalam tempoh 24 jam.

Tanggungjawab
Identiti USM merupakan keistimewaan yang diberikan oleh pihak Universiti kepada para pelajar.

Setiap pelajar bertanggungjawab untuk melindungi akaun identiti mereka. Pelajar juga bertanggungjawab untuk setiap aktiviti yang dilakukan pada mana-mana servis yang menggunakan akaun identiti mereka.

Kegagalan untuk melindungi akaun identiti atau melakukan salah guna kepada servis-servis dengan menggunakan akaun identiti boleh menyebabkan pelajar dikenakan tindakan di bawah perundangan universiti atau akta-akta yang diwartakan oleh Kerajaan Malaysia.

Pihak universiti berhak untuk menghalang pelajar dari menggunakan mana-mana servis jika didapati berlaku salah laku atau cara penggunaan servis yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan.

Pihak universiti juga boleh melakukan pembekuan kepada akaun yang didapati tidak lagi mematuhi tatacara penggunaannya atau terhadap akaun tersebut telah digodam. Pembekuan ini turut melibatkan penukaran kata laluan bagi akaun yang telah digodam.

Akta & Garis Panduan
Akta-akta yang digunapakai oleh Universiti Sains Malaysia yang berkaitan dengan akaun identiti dan servis-servis yang ditawarkan bersamanya. Ia selaras dengan penubuhan Univerisiti Sains Malaysia sebagai badan berkanun di bawah pemerintahan Kerajaan Malaysia.

1.    Dasar Teknologi Maklumat, Universiti Sains Malaysia 2011
2.    Garis Panduan Keselamatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.
3.    Akta Keterangan 1950 – Akta 56, Akta 114A
4.    Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 - Akta 588
5.    Akta Jenayah Komputer 1997 - Akta 563
6.    Akta Tandatangan Digital 1997 - Akta 562
7.    Akta Teleperubatan 1997 - Akta 564

Pendaftaran Kendiri Akaun Identiti
Setiap pelajar diberikan keistimewaan untuk mencipta sendiri akaun identiti mereka mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.

Pendaftaran akaun identiti perlu dilakukan hanya sekali sepanjang tempoh pengajian di Universiti Sains Malaysia, iaitu apabila menerima surat tawaran dan bersetuju untuk meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia. Jika pelajar tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau dalam bidang lain, beliau hendaklah menggunakan akaun identiti yang telah dicipta sebelumnya.

Pelajar hanya diberikan satu peluang untuk membuat akaun identiti mereka. Pelajar tidak lagi dibenarkan untuk mengubah nama akaun identiti yang telah dijana dan diterima oleh sistem. Jika nama akaun identiti tersebut ditolak, pelajar mempunyai tempoh sehingga mereka hadir secara fizikal ke Universiti Sains Malaysia.

Pihak universiti berhak menolak sebarang nama akaun identiti yang didapati tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan, mempunyai unsur-unsur lucah, unsur-unsur menghasut dan yang dirasakan tidak sesuai untuk diguna pakai sebagai pelajar institusi pengajian tinggi.

Penolakan ini akan melambatkan proses untuk pelajar mendapatkan servis-servis yang ditawarkan oleh pihak universiti. Oleh itu para pelajar digesa untuk mengikut garis panduan penjanaan akaun identiti.

Pelajar perlu melayari portal https://self.usm.my dan memilih butang “Register New Identity”. Masukkan nombor kad pengenalan/passport dan nombor PIN, dan ikuti arahan di skrin.

Tatacara pendaftaran akaun boleh dimuat turun dari:
https://enovate.usm.my/muat-turun/manual?download=43:self-enrollment

Panduan Penjanaan Nama Akaun Identiti
Akaun identiti akan digunakan sepanjang tempoh pengajian dan akan diaktifkan semula jika pelajar menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia. Oleh itu pemilihan nama akaun identiti yang sesuai adalah penting dan perlu dilakukan dengan sebaiknya.

Nama akaun identiti perlu mengikut panduan berikut:
1.    Nama akaun identiti seharusnya mempunyai sebahagian dari nama pelajar.
2.    Nama akaun identiti tidak boleh mempunyai panjang melebihi 20 aksara (tidak termasuk @student.usm.my).
3.    Nama akaun identiti tidak boleh mempunyai simbol kecuali simbol _ (garis bawah) dan . (noktah) sahaja.
4.    Nama akaun identiti yang mempunyai unsur lucah, menghina, menghasut tidak akan diterima.
5.    Nama identiti yang mempunyai kata kunci berkaitan dengan dadah, jenayah dan berkebudakan tidak akan diterima.

Panduan Pemilihan Kata Laluan Akaun Identiti
Kata laluan bagi akaun identiti hanya akan dimasukkan apabila pelajar hadir ke Universiti Sains Malaysia dan melakukan pengaktifan akaun identiti mereka.

Berikut panduan berkaitan kata laluan yang kuat:
1.    Kata laluan harus mempunyai kombinasi dari 3 jenis, iaitu huruf besar, huruf kecil, nombor dan simbol.
2.    Kata laluan perlu mempunyai panjang tidak kurang dari 8 aksara dan tidak melebihi 20 aksara.
3.    Kata laluan tidak boleh mempunyai kombinasi 3 huruf sebagaimana yang terdapat dalam nama akaun identiti.
4.    Kata laluan harus mudah diingat tetapi sukar dipecahkan oleh penggodam.
5.    Jangan hebahkan kata laluan anda atau berkongsi kata laluan anda.
6.    Elakkan dari menggunakan kata laluan yang sama bagi semua portal, terutama portal kegunaan awam.

Pengaktifan Akaun Identiti
Akaun identiti hanya boleh diaktifkan apabila pelajar bersetuju untuk menyambung pengajian di  Universiti Sains Malaysia dan hadir secara fizikal ke sini.

Pelajar perlu terlebih dahulu membuat sambung ke rangkaian Wifi USMWireless dan melayari portal https://self.usm.my. Pilih butang “Register New Identity”. Masukkan nombor kad pengenalan/passport dan nombor PIN, dan ikuti arahan di skrin.

Tatacara pengaktifan akaun boleh dimuat turun dari
 https://enovate.usm.my/muat-turun/manual?download=43:self-enrollment