Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

PPKT Kampus Kejuruteraan Menyantuni Lawatan dari UniSZA

lawatan unisza 1

Nibong Tebal, 18 April 2025 – Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan telah berbesar hati menerima kunjungan delegasi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu sesi lawatan rasmi yang penuh bermakna. Lawatan tersebut melibatkan seramai enam orang pegawai ICT dari UniSZA dan bertujuan untuk berkongsi pengetahuan serta membina jaringan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Lawatan ini dimulakan dengan sesi TechTalk Insight yang menampilkan dua topik utama yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa. Topik pertama bertajuk “Teknologi Makmal HiFlex by E-One” telah disampaikan oleh Mr. Leong Chen Woon dan Ms. Lew Chui Ling. Dalam pembentangan tersebut, mereka berkongsi bagaimana pendekatan HiFlex boleh memperkasa pengalaman pembelajaran hibrid melalui penyepaduan teknologi terkini di makmal pembelajaran. Topik kedua pula bertajuk “Cybersecurity Landscape” yang dibawakan oleh wakil dari Bitdefender Malaysia, iaitu Encik Mohd Hafizul bin Borhan, Senior Presales Manager. Sesi ini membuka minda peserta mengenai cabaran keselamatan siber semasa dan strategi terbaik dalam mempertahankan infrastruktur digital organisasi.

Selesai sesi perkongsian ilmu, para pelawat turut dibawa melawat ke kemudahan-kemudahan ICT yang terdapat di PPKT. Antara lokasi yang dilawati termasuklah Makmal Pengajaran berkapasiti 150 orang, yang dilengkapi kemudahan pembelajaran moden, serta Makmal Multimedia berkapasiti 50 orang, di mana satu sesi demonstrasi sistem VOI (Virtual Operation Interface) telah diadakan. Sistem ini digunakan bagi tujuan pengurusan makmal komputer secara efisien dan berpusat. Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang untuk bertukar pandangan dan amalan terbaik, malah membuka ruang kerjasama strategik antara dua institusi pengajian tinggi ini dalam usaha memperkukuh transformasi digital di peringkat universiti. PPKT Kampus Kejuruteraan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UniSZA atas lawatan ini dan berharap jalinan ini akan diteruskan pada masa akan datang melalui kolaborasi yang lebih mantap dan bermakna.

lawatan unisza 2

lawatan unisza 3

Teks : Puan Mashithah
Foto : Puan Mashithah

PPKT KAMPUS KEJURUTERAAN DIIKTIRAF 5 DAUN PROGRAM AUDIT PEJABAT HIJAU USM 2024

audit hijau 2024

PULAU PINANG, 30 OKT 2024 (RABU) -USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) telah menganjurkan Program Pejabat dan Desasiswa Hijau (GreenOffice@USM). Salah satu inisiatif di bawah program ini ialah Program Audit Kelestarian Pejabat dan Desasiswa Hijau yang bertujuan untuk memberi pendedahan, penasihatan, dan cadangan yang boleh menyumbang kepada amalan dan aktiviti kelestarian yang berkesan bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang inovatif dan lestari.

Program ini menampilkan pelbagai inisiatif hijau yang digerakkan oleh BJIM dengan kerjasama Kampus Sejahtera USM. Inisiatif ini termasuk pelaksanaan amalan dan dasar yang mengurangkan kesan alam sekitar dalam penggunaan seharian di pejabat dan desasiswa. Program ini juga menekankan konsep Pejabat Hijau yang melibatkan pengurangan jejak karbon, penjimatan kos melalui pengurangan penggunaan tenaga, dan peningkatan semangat serta produktiviti staf.

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan telah menyahut seruan universiti ke arah Kelestarian Pejabat Hijau dengan memberi kerjasama dan komitmen dalam memastikan kejayaan penarafan Green Leaf. Dalam menjayakan program ini, PPKT bergerak dengan tunggak utama iaitu Jawatankuasa Kelestarian & Keceriaan PPKT serta kerjasama semua staf dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian. Hasilnya, PPKT Kejuruteraan berjaya mendapat Penarafan 5 Daun dalam Program Audit Pejabat Hijau Universiti Sains Malaysia 2024.

Program ini juga melibatkan pelancaran aplikasi GreenPulse USM untuk memudahkan pemantauan dan penyelarasan aktiviti hijau di seluruh PTJ dan kafe di USM. Majlis Penarafan Pejabat Hijau USM turut mengiktiraf PTJ yang menunjukkan komitmen cemerlang dalam usaha kelestarian dengan memberikan anugerah kepada pemenang.

Walaupun program ini menghadapi beberapa cabaran seperti meningkatkan kesedaran dan penglibatan warga kampus, pengurusan sumber dan pembiayaan, serta pematuhan dan penguatkuasaan amalan kelestarian, usaha berterusan dan kerjasama semua pihak diharapkan dapat mengatasi cabaran ini dan mencapai matlamat program untuk mewujudkan persekitaran kampus yang lebih lestari dan mesra alam.

penarafan audit hijau 2024

Teks: En Sheikh Md Roshahidi
Foto: Puan Mashithah

SISTEM E-PILIH ONLINE - PEMILIHAN MPPUSM 2024/2025

MINDEN, 18 NOVEMBER 2024 (ISNIN) – Pemilihan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang 2024/2025 telah berjalan dengan lancar. Kaedah pemilihan diadakah secara atas talian sepenuhnya yang dibangunkan oleh Seksyen Aplikasi dan Web, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan. Sistem ini juga mendapat sokongan yang jitu daripada PPKT Kampus Induk dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA).

Sistem ePilih dibuka bermula pada 8.30 pagi sehingga 5.00 petang kepada semua pemilih yang layak untuk memilih. Sebanyak 17,492 pelajar didaftarkan sebagai pemilih untuk Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan. Pemilihan dikendalikan oleh jawatankuasa yang dilantik di kalangan pelajar.

Sebelum melaksanakan aktiviti pemilihan, pemilih boleh menyemak kelayakan pemilih dengan menggunakan Semakan Daftar Pemilih secara atas talian yang dibuka bermula jam 12 tengahari pada 14 November 2024. Semakan Daftar Pemilih memaparkan tarikh dan masa yang telah ditetapkan untuk memilih. Senarai calon bagi Konstituensi Umum dan Konstituensi Pusat Pengajian pemilih juga dipapar untuk pemilih melihat maklumat terperinci calon.

Setelah selesai pemilihan dijalankan, keputusan rasmi telah dapat diumumkan seawal jam 6.30 petang oleh Timbalan Naib Canselor BHEPA USM, Yang Berusaha Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin. Diharap semoga kelancaran dan kejayaan pemilihan pada kali ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

StatistikPeratusanPemilihMemilih

Statistik Peratusan Pemilih Memilih

 

JPMPPUSM20242025

Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar USM 2024/2025

 KeputusanMPP202425

Pengumuman rasmi keputusan oleh Timbalan Naib Canselor BHEPA USM, Yang Berusaha Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin.

Teks: Pn Shariza Sharuddin
Foto: Pn Shariza Sharuddin

 

Lawatan Penanda Aras ke UTM dan UTHM

lawatan UTM 2024

JOHOR, JOHOR BAHRU 10 NOVEMBER 2024 (AHAD) - Lawatan Penanda Aras anjuran Seksyen Korporat, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan telah berjaya dilaksanakan pada tahun ini. Seramai 18 orang delegasi daripada PPKT, Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Encik Mazlifendirizan bin Mohd Rejab, Timbalan Pengarah PPKT telah mengunjungi Jabatan Perkhidmatan Digital, UTMDigital, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

Setibanya di sana, delegasi PPKT telah disambut mesra oleh Encik Jaffar Sidek Haron, Timbalan Pengarah, Bahagian Strategik Digital dan beberapa orang staf. Beliau telah memberi taklimat pengenalan, mengenai UTMDigital, UTM Digitalization Blueprint, Projek Pendigitalan UTM dan Perkhidmatan ICT memenuhi Amalan Standard.

Pihak PPKT telah dibawa melawat ke bilik Help Desk, Bilik Data, Pelayan dan Bilik Pembangun Sistem (Open Office).

lawatan UTM 2024 2

lawatan UTM 2024 3

Lawatan penanda aras seterusnya adalah di Pusat Teknologi Maklumat (PTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada hari Isnin, 11 November 2024.

Delegasi PPKT telah dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan PTTA, PTM Blok A5 dan Bangunan Pusat Data, PTM UTHM. Delegasi PPKT telah disambut mesra oleh Puan Hajah Rasidah binti Mohd Yasin, Timbalan Pengarah Kanan, Ts. Muhamad Rais bin Abd. Halim, Ketua Unit Web dan Latihan serta ketua-ketua bahagian dari PTM. Program ini bermula dengan sesi pembentangan, perkongsian maklumat, dan lawatan ke Kaunter Khidmat Pelanggan serta Gerbang Digital.

Encik Mazlifendirizan berterima kasih kepada UTM dan UTHM kerana sudi menerima kunjungan dari PPKT. PPKT juga berbesar hati dan mengalu-alukan kunjungan balas dari pihak UTM dan UTHM di lain kesempatan.

Penutup majlis diraikan dengan pemberian cenderahati oleh PPKT kepada pihak UTM dan UTHM. Diharapkan, inisiatif ini menjadi platform efektif untuk pertukaran pengetahuan dan memperkuat kerjasama antara semua pihak.

lawatan UTM 2024 5

lawatan UTM 2024 6

lawatan UTM 2024 7

Teks: Puan Umul
Foto: Puan Shakila

KEMASUKAN PELAJAR BAHARU KE KAMPUS KEJURUTERAAN USM SEMESTER 1 SIDANG AKADEMIK 2024/2025

ppkt sewa makmal

NIBONG TEBAL, 10 Oktober 2024 (Khamis) - Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menyambut kedatangan 749 pelajar baharu ke Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal. Kemasukan pelajar baharu ini menandakan permulaan perjalanan akademik yang penuh cabaran dan peluang bagi mereka yang berminat dalam bidang kejuruteraan.

USM menawarkan pelbagai program kejuruteraan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Pelajar berpeluang untuk terlibat dalam projek penyelidikan yang inovatif dan berkolaborasi dengan industri. Ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan teknikal mereka tetapi juga membina kemahiran insaniah yang penting untuk kerjaya masa depan.

Minggu Siswa Lestari Sidang Akademik 2024/2025 telah diadakan untuk membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus. Pelbagai aktiviti seperti lawatan kampus, sesi taklimat akademik dan Majlis Sambutan Siswa Lestari USM telah dianjurkan. Ini bertujuan untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang kehidupan di kampus serta mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran akademik yang bakal ditempuhi.

USM komited untuk menyediakan sokongan yang menyeluruh kepada pelajar. Terdapat pelbagai perkhidmatan bimbingan akademik dan kaunseling yang disediakan untuk membantu pelajar mengatasi sebarang kesukaran yang dihadapi. Selain itu, pelajar juga digalakkan untuk menyertai kelab dan persatuan bagi memperkaya pengalaman kampus mereka.

Dengan kemasukan pelajar baharu ini, USM berharap dapat melahirkan jurutera yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga mempunyai nilai-nilai murni dan kemahiran kepimpinan. Pelajar baharu diharapkan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada dan menyumbang kepada pembangunan negara melalui bidang kejuruteraan.

PPKT mengucapkan selamat datang dan selamat menempuh pengajian semester baharu Sidang Akademik 2024/2025 kepada semua pelajar baharu di Kampus Kejuruteraan USM!

Teks: Puan Mashithah
Foto: Encik Suhaimi