Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

Perjumpaan SahabatPPKT (Pelajar) 2023

NIBONG TEBAL, 22 FEBUARI 2023 (RABU) - Perjumpaan SahabatPPKT (Pelajar) bagi tahun 2023 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan pada jam 3:00 petang dan telah dihadiri oleh 9 wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU).

Sebelum memulakan taklimat, Encik Mazlifendirizan Bin Md Rejab selaku Penyelaras PPKT Kampus Kejuruteraan mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kedatangan perwakilan pelajar kerana sudi menghadiri perjumpaan tersebut.

Taklimat perkongsian fungsi dan perkhidmatan telah diberikan oleh Puan Mashithah Md Hasim (Ketua Seksyen Korporat), Encik Mohamad Khairi bin Osman (Ketua Seksyen Infostruktur) dan Puan Nurzalina Nordin (Ketua Seksyen Aplikasi dan Multimedia).

Pertemuan diakhiri dengan sesi soal jawab dan pemberian cenderahati sebagai tanda menghargai kepada SahabatPPKT (Pelajar).

Dengan pertemuan ini, diharapkan perhubungan di antara pelajar Kampus Kejuruteraan dan PPKT terjalin erat bagi saling membantu meningkatkan mutu perkhidmatan ICT.

PROGRAM SEMPENA CUTI SEKOLAH, KEM BINA FOLIO

NIBONG TEBAL, 7 Mac 2023 (Selasa) – Program sempena cuti sekolah, Kem Bina Folio telah diadakan di Makmal Multimedia, PPKT Kampus Kejuruteraan untuk anak-anak yang berada sekolah rendah.


binapotfolio2
Kursus ini berlangsung selama 1 hari iaitu bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang dan telah disertai oleh seramai 26 orang peserta. Tenaga pengajar kursus adalah Puan Shariza binti Sharuddin, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat dari PPKT, Kampus Kejuruteraan dan dibantu oleh beberapa staf PPKT.

binapotfolio3

Hasil yang diharapkan dari kursus ini adalah anak-anak dapat menggunakan Microsoft Word dalam menghasilkan folio yang ceria dan tersusun dari segi format dan isi kandungan.
Pada akhir kursus, anak-anak dapat membawa pulang folio hasil tangan mereka yang lengkap cetak berwarna serta sijil penyertaan.

Teks: Puan Jamaliah
Foto: Puan Mashithah

PROGRAM JARINGAN MASYARAKAT PPKT KAMPUS KEJURUTERAAN – RUMAH PENJAGAAN WARGA EMAS DARUL HANAN

KEPALA BATAS, PULAU PINANG 1 FEBRUARI 2023 (RABU) – Ziarah Ukhuwah ke Rumah Penjagaan Warga Emas Darul Hanan merupakan program pertama Jaringan Masyarakat pada tahun 2023. Seramai 20 orang staf daripada Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Puan Umul Hapsah binti Mohamad telah mengunjungi Darul Hanan bermula jam 10 pagi sehingga 1 petang.

Setibanya di sana, staf PPKT telah disambut mesra oleh Puan Siti Zaliha binti Siraj dan beberapa orang staf yang lain. Penghuni Darul Hanan seramai 71 orang telah bersiap sedia menunggu kedatangan kami dengan segak berpakaian sedondon. Mereka dijaga rapi oleh 40 orang staf yang bertugas mengikut giliran dan jadual berkala.

Encik Rahmat bin Mat Nayan bertindak sebagai pengacara majlis dan bersuai kenal dengan penghuni Darul Hanan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa staf PPKT berada di sana. Antaranya adalah taklimat berkaitan scammers yang boleh berada di mana-mana sama ada secara atas talian atau semasa lawatan luar yang telah disampaikan oleh Encik Sheikh Md Roshahidi bin Sheikh Daud.

Selain itu, Puan Azura binti Muhamad Marican yang dijemput khas dari PPKT Kampus Induk telah mengetuai aktiviti “Chair-robic” dengan diiringi alunan musik. Keceriaan terpancar di wajah para penghuni yang teruja dengan aktiviti ini. Aktiviti seterusnya adalah kuiz yang menguji minda oleh Puan Junaidah binti Jaapar dan dibantu oleh Puan Shariza binti Sharuddin. Penghuni yang berjaya menjawab kuiz tersebut diberi hadiah.

Acara terakhir adalah sambutan hari lahir salah seorang penghuni iaitu mantan staf PPKT, Kampus Kejuruteraan, Cik Norshida binti Hassan. Cik Norshida diraikan dengan nyanyian lagu “Allah Selamatkan Kamu” dan acara memotong kek hari lahir yang dibawa khas untuk beliau. Selepas itu, Haji Amir Husaini bin Abdul Hamid telah dijemput untuk membacakan doa.
Penutup majlis adalah dengan pemberian wang sumbangan oleh PPKT kepada pihak Darul Hanan yang disampaikan oleh Puan Umul Hapsah. Semoga dengan ziarah ukhuwah ini dapat memberi keceriaan kepada semua penghuni dan menjadi kenangan terindah.

Teks: Puan Shariza Sharuddin
Foto: Puan Mashithah & Encik Khairi Osman

image1
Puan Umul Hapsah menyerahkan sumbangan kepada wakil Darul Hanan, Puan Siti Zalihas.

image2
Majlis sambutan hari lahir mantan staf PPKT, Kampus Kejuteraan, Cik Norshida binti Hassan.

image3
Para penghuni Darul Hanan melakukan aktiviti “Chair-robic”

image4
Puan Junaidah bertanyakan soalan kuiz kepada salah seorang penghuni Darul Hanan.

image5
Perkongsian berkaitan “Scammers Di Mana-Mana” kepada penghuni Darul Hanan oleh Encik Sheikh Md Roshahidi.

 

JUARA PERTANDINGAN KIK HORIZON BAHARU HIBRID - PASUKAN JEJAK SAMUDERA

MINDEF, KUALA LUMPUR 19 JANUARI 2023 (KHAMIS) - Pasukan Jejak Samudera telah menjuarai Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu kategori KIK Hibrid Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2023. Pasukan tersebut terdiri daripada No 16. Skuadron, TUDM, Subang, En Mohamad Zihad Mahmud, Pegawai Latihan Vokasional, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, USM dan En Mohd Jamil Kasim, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan USM. Hadiah tempat pertama merupakan wang tunai RM 5000.00, piala dan sijil.

Konvensyen bermula dari 13 hingga 19 Januari 2023. Majlis penyampaian hadiah diadakan pada 19 Januari 2023. Minggu Inovasi adalah bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada usaha dan hasil yang telah dicapai oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif Sektor Awam dan Tentera di seluruh negara. Ianya juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada warga Kementerian Pertahanan tentang pentingnya pemikiran kreatif dan berinovatif dalam melaksanakan tugasan harian.

Projek Knight Bi-Electronic Management System (K-BEMS) adalah ciptaan inovasi KIK hibrid pasukan Jejak Samudera. Projek ini disasarkan untuk menjimatkan kos penyelenggaraan simpanan enjin pesawat Beechcraft B200T yang diselenggara dan dioperasikan oleh Skuadron 16, TUDM. Penjimatan disasarkan sehingga RM70 juta bagi penggunaan alat ini yang telah digunapakai di bahagian operasi skuadron 16, TUDM. Sistem ini juga digunakan pada peralatan simulator pesawat, stor asset dan juga elektronik.

K-BEMS telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 10 Mac 2022. Sistem ini telah diperluaskan penggunaannya ke 7 pangkalan utama TUDM iaitu Sungai Besi, Lumut, Subang, Sendayan, Gong Kedak, Kuantan, Alor Setar, Labuan dan Kuching. Selain itu ia telah digunakan oleh 3 syarikat industri pertahanan iaitu Zetro Sdn Bhd, AIROD Sdn Bhd dan Aerotree Sdn Bhd. Sebanyak 58 kumpulan turut serta bertanding dalam kategori yang lain seperti Kategori KIK Primer dan Kategori KIK Hibrid.

Kerjasama dan saling bantu-membantu di antara agensi kerajaan ini perlulah diteruskan dan diterapkan dalam kalangan setiap warga organisasi agar semangat ini akan membawa kepada kejayaan dalam satu-satu perkara dan memberi manfaat kepada negara yang kita cintai.

image1
Pasukan Jejak Samudera menjuarai kategori hibrid dengan produk K-BEMS.

image2

image3
Pasukan Jejak Samudera bersama Mej Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM, AKS Kejuruteraan (Tengah), Kol Samsuri Bin Abu Bakar, Pengarah Pembangunan MTU Kejuruteraan (tengah kiri) dan Pegawai Memerintah No 16 Skuadron Lt Kol Mohamad Zaini Bin Zainorin (tengah berkaca mata kanan) di Booth TUDM di Pameran Kementerian Pertahanan, MINDEF.

image4
YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Team KIK Hybrid Jejak Samudera.

image5
Yang Berhormat Tuan Haji Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Team KIK Hybrid Jejak Samudera.

image6
Simbolik perasmian semasa majlis berlangsung.

Teks : Puan Shariza Sharuddin & Encik Jamil Kasim
Foto : Encik Jamil Kasim

SISTEM EPILIH ONLINE - PEMILIHAN MPPUSM

MINDEN, 2 DISEMBER 2022 (JUMAAT) – Pemilihan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang 2022/2023 telah berjalan dengan lancar. Bermula pada tahun lepas, pihak Universiti telah bersetuju untuk menggunakan kaedah pemilihan secara atas talian sepenuhnya yang dibangunkan oleh Seksyen Aplikasi, Web dan Multimedia, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan. Sistem ini juga mendapat sokongan yang jitu daripada PPKT Kampus Induk dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA).

Sistem ePilih dibuka bermula pada 8.30 pagi sehingga 5.00 petang kepada semua pemilih yang layak untuk memilih. Sebanyak 14,335 pelajar didaftarkan sebagai pemilih untuk Kampus Induk dan Kampus Kesihatan. Manakala pelajar dari Kampus Kejuruteraan tidak mengundi pada kali ini kerana calon telah menang tanpa bertanding. Pemilihan dikendalikan oleh jawatankuasa yang dilantik di kalangan pelajar.

Sebelum melaksanakan aktiviti pemilihan, pemilih boleh menyemak kelayakan pemilih dengan menggunakan Semakan Daftar Pemilih secara atas talian yang dibuka bermula jam 12 tengahari pada 29 November 2022. Semakan Daftar Pemilih memaparkan tarikh dan masa yang telah ditetapkan untuk memilih. Senarai calon bagi Konstituensi Umum dan Konstituensi Pusat Pengajian pemilih juga dipapar untuk pemilih melihat maklumat terperinci calon.

Setelah selesai pemilihan dijalankan, keputusan telah diumumkan pada jam 7.02 malam oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Binti Azman. Diharap semoga kelancaran dan kejayaan pemilihan pada kali ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

epilih2022 1
Statistik Peratusan Pemilih Memilih

epilih2022 1
Wakil daripada Jawatankuasa Keutuhan semasa semakan keutuhan sistem.

epilih2022 2
Jawatankuasa pelajar mencetak keputusan sebelum pengumuman rasmi.



Teks : Puan Shariza Sharuddin
Gambar : Puan Shariza Sharuddin