25 PESERTA IKUTI KURSUS MS WORD DAN MS EXCEL BAGI PROGRAM JARINGAN MASYARAKAT
MUKIM LEPAI, ALOR SETAR, 23 FEBRUARI 2019 (SABTU) – Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan dengan kerjasama Dewan Ilmu, Masjid Nurul Huda, Lepai telah menganjurkan satu Kursus Komputer (MS Word dan MS Excel 2013) kepada pegawai-pegawai masjid yang berdekatan kariah tersebut. Kursus yang diadakan sehari suntuk pada 23 Februari 2019 itu mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada pegawai-pegawai masjid tetapi juga daripada anak-anak kariah Masjid Nurul Huda sendiri.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada mantan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan iaitu Tuan Hj. Mohd Yusof Abd Rahim juga selaku anak kariah Masjid Nurul Huda. Kelas bermula pada jam 9.30 pagi iaitu Kursus MS Excel 2013 yang dikendalikan oleh Puan Shariza Sharuddin. Pada sebelah petangnya pula, kelas disambung oleh Puan Umul Hapsah Mohammad yang mengajar Kursus MS Word 2013. Dua orang tenaga pengajar yang berpengalaman ini dibawakan khas dari PPKT Kampus Kejuruteraan USM.
Kursus yang dihadiri seramai 25 orang peserta ini turut dibantu oleh 3 orang pembantu pengajar. Sepanjang kursus berlangsung, banyak interaksi dan soal jawab di antara peserta dan pengajar. Hasil dari soal jawab semasa kelas dengan peserta, jelas menggambarkan bahawa mereka teruja dan gembira. Kursus yang lebih menekankan kepada asas penggunaan MS Word dan MS Excel ini diharap dapat membantu para peserta terutama pegawai-pegawai masjid dalam urusan harian mereka seperti penyediaan surat, laporan kewangan dan sebagainya.
Majlis di akhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta kursus oleh Pengerusi Dewan Ilmu, Masjid Nurul Huda iaitu Tuan Hj Ismail bin Saad@Ahmad. Harapan daripada peserta dan penganjur agar kursus seperti ini dapat diadakan lagi dimasa akan datang. Sebelum bersurai, semua perserta dan pengajar disajikan dengan minuman petang.
Teks: Suhaimi Saibon
Foto: Suhaimi Saibon & Rahmat Mat Nayan