KERJASAMA KPT-KPM PERKASA LALUAN PENDIDIKAN LEPASAN SPM MELALUI PROGRAM KTE PREMIER DI USM
NIBONG TEBAL, 10 Jun – Program Pendidikan Tingkatan Enam (KTE) Kampus Universiti yang julung kali dianjurkan secara kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 5,000 permohonan diterima.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program Tingkatan Enam Premier yang dilaksanakan di Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi bukti komitmen kedua-dua kementerian dalam memperkasakan laluan pendidikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
USM telah menjadi tuan rumah bagi pelaksanaan Program Kolej Tingkatan Enam (KTE) Premier hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Program ini bertujuan memperkasa laluan pendidikan pelajar lepasan SPM, khususnya dalam menyediakan peluang lanjutan pendidikan yang lebih terarah dan berkualiti.
Pelajar Tingkatan Enam dari pelbagai sekolah telah mengambil bahagian dalam program ini yang berlangsung di kampus USM. Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong program tersebut, staf dari Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) turut terlibat dalam proses pengambilan foto serta penyediaan kad matrik bagi pelajar-pelajar yang terlibat. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan urusan dokumentasi dan identifikasi pelajar, malah turut menzahirkan komitmen USM dalam menyokong agenda pendidikan nasional.
Program KTE Premier ini dijangka dapat menyediakan platform yang kondusif dan holistik kepada pelajar Tingkatan Enam dalam meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi, sejajar dengan matlamat Melestari Pendidikan Tinggi Negara.
Teks: Puan Jamaliah
Foto: Encik Shamsul