Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

Korban Punya Cerita…..

image1
NIBONG TEBAL, 13 OGOS 2019 (SELASA) – Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini, Kelab Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan telah mengambil inisiatif membuka peluang untuk ahli-ahlinya merebut pahala korban dengan menganjurkan aktiviti korban. Sebagai permulaan untuk tahun ini, hanya seekor lembu (7 peserta/tumpuk) sahaja yang mengambil bahagian. Harga bagi satu bahagian adalah RM600 sahaja dan bayaran dibuat kepada AJK yang dilantik secara tunai ataupun ansuran iaitu sebulan RM100 sebulan bermula dari Januari 2019 hingga Jun 2019.

image2
image3
Aktiviti yang dilakukan secara gotong royong ini bermula seawal jam 8.30 pagi. Kesemua aktiviti seperti melapah, memotong, membahagi dan mengagihkan dibuat secara gotong royong oleh ahli Kelab PPKT sendiri kecuali aktiviti menyembelih yang telah dilakukan di pusat penyembelihan oleh orang yang dilantik. Pelbagai gelagat dan aksi dari ahli kelab dapat disaksikan sepanjang aktiviti ini. Ada diantaranya sudah berpengalaman dan ada juga yang baru berjinak dalam aktiviti sebegini. Semuanya sepakat dan dalam masa lebih kurang 2 jam, semua aktiviti melapah, memotong, membahagi dan mengagihkan siap dijalankan.

image4
Dengan persetujuan bersama ahli korban, sebahagian 1/3 daging bagi setiap peserta telah diambil untuk dimasak dan dijadikan kenduri pada tengahari tersebut. Atas semangat kerjasama dan tolong menolong yang sedia terjalin ini, maka sekali lagi aktiviti gotong royong memasak pula dijalankan. Menu pada kali ini adalah nasi minyak, gulai daging, air asam dan menu tambahan pula adalah sup tulang.
Sebelum jamuan makan, majlis diserikan dengan bacaan tahlil dan doa selamat oleh En Mohd Salludin Mohd Salleh. Mudah-mudahan Allah swt. menerima amalan korban yang dibuat oleh setiap peserta korban pada kali ini. Bagi yang tidak menjalankan ibadah korban pada tahun ini, diharap aktiviti seperti ini dapat memberi semangat dan insyaallah akan menyertainya pada tahun hadapan. Semoga segala amal ibadah dan gerak kerja yang telah kita lakukan dalam menjayakan aktiviti ini diredhoi oleh Nya.

Teks: Suhaimi Saibon
Foto: Mashithah Md Hasim & Mohd Kamal Mohd Noordin