Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

SESI TAKLIMAT DAN PERKONGSIAN SISTEM BUDAYA KERJA CEMERLANG BERSAMA PUSAT PENGAJIAN KEJURUTERAAN MEKANIK

image1

NIBONG TEBAL, 14 OKTOBER 2019 (ISNIN)- Atas permintaan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekanik, satu sesi taklimat dan perkongsian pengalaman Budaya Kerja Cemerlang telah dijalankan di Bilik Mesyuarat Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT). PPK Mekanik yang diwakili oleh para penyelia staf yang terdiri daripada Encik Baharom Awang, Encik Rosnin Saranor dan Encik Zaimi Mat Isa. Taklimat ini telah disampaikan oleh pengerusi Jawatankuasa Budaya Kerja Cemerlang, Encik Muhamad Azam Md. Tajudin dan turut dihadiri oleh kesemua ahli Jawatankuasa Budaya Kerja Cemerlang, PPKT.

image2

Sesi taklimat yang berjalan selama hampir 2 jam setengah ini membincangkan dengan lebih mendalam mengenai Punca Kuasa yang dirujuk dalam menjalankan kawalan dan pengawasan tatatertib. Penerangan lanjut mengenai struktur organisasi Jawatan Kuasa Budaya Kerja Cemerlang di dalam struktur pengurusan PPKT juga turut dilakukan. Taklimat ini juga menyentuh mengenai penggunaan Buku Panduan Budaya Kerja Cemerlang, Buku Rekod Pergerakan Kakitangan, Diari USM, Sistem Kehadiran Online dan Sistem Budaya Kerja Cemerlang. Demonstrasi pemprosesan rekod kehadiran bagi bulan September 2019 juga turut dilakukan bagi menunjukkan bagaimana cara sebenar perjalanan jawatankuasa bersidang setiap bulan dengan menggunakan Sistem Budaya Kerja Cemerlang.

Dengan berjalannya sesi perkongsian pengalaman ini, penyelia-penyelia staf PPK Mekanik yang hadir dapat mengambil input berguna untuk dibawa ke bahagian pengurusan dan pentadbiran mereka seterusnya dibincangkan untuk diimplementasikan di pusat pengajian di masa akan datang.

Teks: Muhamad Azam Md. Tajudin
Foto: Nurzalina Nordin