Sistem E-Pilih Online - Pemilihan MPP USM
MINDEN, 6 DISEMBER 2021 (ISNIN) – Pemilihan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang 2021/2022 telah berjalan dengan lancar. Bermula pada tahun ini, pihak Universiti telah bersetuju untuk menggunakan kaedah pemilihan secara atas talian sepenuhnya yang dibangunkan oleh Seksyen Aplikasi, Web dan Multimedia, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan. Sistem ini juga mendapat sokongan yang jitu daripada PPKT Kampus Induk dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA).
Sistem ePilih dibuka bermula pada 8.30 pagi sehingga 5.00 petang kepada semua pemilih yang layak untuk memilih. Sebanyak 14,575 pelajar didaftarkan sebagai pemilih untuk ketiga-tiga kampus. Pemilihan kali ini dikendalikan oleh jawatankuasa yang dilantik di kalangan pelajar.
Sebelum melaksanakan aktiviti pemilihan, pemilih boleh menyemak kelayakan pemilih dengan menggunakan Semakan Daftar Pemilih secara atas talian yang dibuka bermula jam 12 tengahari pada 3 Disember 2021. Semakan Daftar Pemilih memaparkan tarikh dan masa yang telah ditetapkan untuk memilih. Senarai calon bagi Konstituensi Umum dan Konstituensi Pusat Pengajian pemilih juga dipapar untuk pemilih melihat maklumat terperinci calon.
Setelah selesai pemilihan dijalankan, keputusan telah dapat diumumkan seawal jam 6.30 petang oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Bin Abdullah. Diharap semoga kelancaran dan kejayaan pemilihan pada kali ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
Wakil daripada Jawatankuasa Keutuhan sedang menandatangani dokumen semakan keutuhan sistem.
Jawatankuasa pelajar mencetak keputusan sebelum pengumuman rasmi.
Teks : Shariza Sharuddin
Gambar : Shariza Sharuddin