Lawatan Delegasi Ppkt Ke Rumah Warga Emas Darul Hanan
KEPALA BATAS, PULAU PINANG 16 JUN 2022 (KHAMIS) – Lawatan ke Rumah Warga Emas Darul Hanan merupakan program pertama Jaringan Masyarakat pada tahun ini. Seramai 8 orang delegasi daripada Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Encik Khusairay Musa telah mengunjungi Darul Hanan bermula jam 10 pagi sehingga 1 petang.
Setibanya di sana, delegasi PPKT telah disambut mesra oleh Puan Nur Aswani Aziz dengan memberi taklimat pengenalan dan membawa kami melawat sekitar kawasan Darul Hanan. Kami telah dibawa melawat bilik penghuni, bilik riadah, surau, mini spa, dewan makan, bilik seminar, wad terlantar anjung terapi dan bilik komputer. Terdapat 68 orang warga emas yang menghuni di sini. Mereka dijaga rapi oleh 35 orang staf yang bertugas mengikut giliran dan jadual berkala.
Puan Siti Sarah Yahaya, selaku Pengurus Darul Hanan juga telah memberi taklimat berkenaan aktiviti dan program yang sering diadakan. Banyak juga pengalaman yang dikongsikan bersama kami selama beliau bertugas di sini selama 13 tahun.
Kompleks warga emas ini dibina di bawah pembiayaan Yayasan Bukhary di atas sebahagian tanah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk penempatan dan penjagaan warga emas. Kompleks ini boleh menampung jumlah maksima warga emas seramai 150 orang dan mula beroperasi pada 1 Februari 2010.
Encik Khusairay berterima kasih kepada pihak Darul Hanan kerana sudi menerima kunjungan dari PPKT. Diharap dengan lawatan ini, kedua-dua pihak dapat berkerjasama pada masa akan datang. PPKT akan cuba untuk membantu dari segi tempahan borang aktiviti seperti yang diperlukan oleh pihak Darul Hanan.
Penutup majlis diraikan dengan pemberian cenderahati oleh PPKT kepada pihak Darul Hanan. Sebelum berlepas pulang, kami dijamu pula dengan minuman ringan. Diharap dengan lawatan ini akan mengeratkan ukhuwah sesama kita.
Teks: Shariza Sharuddin
Foto: Nurzalina Nordin