Persidangan ICT4U 2.0 : Memperkasakan Transformasi Digital dalam Pendidikan Tinggi
Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan sekali lagi telah berjaya menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan ICT4U 2.0 yang berfokus kepada memperkasakan transformasi digital dalam sektor pendidikan tinggi. Persidangan kali ini bertemakan “Foresighting Digital Evolution for Sustainable Education” yang telah berlangsung pada 18 hingga 19 September 2024 di Parkroyal Penang Resort.
ICT4U 2.0 adalah persidangan yang mengumpulkan pakar-pakar terkemuka, pengamal ICT, pendidik, dan pemikir-pemikir masa hadapan sebagaimana kita menyelami landskap dinamik evolusi digital dan kesan mendalamnya terhadap dunia pendidikan. Menerokai strategi, berkongsi pandangan dan menjadi sebahagian daripada dialog yang membentuk era pembelajaran seterusnya. Bersedia untuk membayangkan, menginspirasi dan menyemarakkan perubahan dalam bidang pendidikan berteraskan teknologi digital.
Persidangan ini telah menyaksikan pembentangan yang merangkumi topik-topik penting seperti Kecerdasan Buatan (AI), Infrastruktur Digital, Big Data, Keselamatan ICT dan konsep Kampus Pintar. Seiring dengan perkembangan teknologi dan kepentingan memperkasakan transformasi digital dalam pendidikan tinggi, topik yang dipilih ini dilihat berpotensi besar untuk mempercepatkan proses digitalisasi universiti awam dan swasta, memudahkan komunikasi serta penyampaian perkhidmatan pendidikan yang lebih cekap dan komprehensif.
Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, YBrs. Ts. Dr. Fazidah binti Abu Bakar turut hadir ke persidangan ICT4U 2.0 kali ini dan telah menyampaikan ucaptama bertajuk “Aspirasi Digital Sektor Awam” serta seterusnya merasmikan program.
Selain itu, forum yang bertemakan “Implementing A Digital Blueprint: Challenges & Best Practices” turut diadakan yang menampilkan panel-panel dari universiti awam, swasta dan juga industri. Forum ICT4U 2.0 disertai Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, Ketua Pegawai Digital USM yang menggalas tanggungjawab sebagai Moderator. Hasil perbincangan forum ini memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat serta idea dalam menangani cabaran dan pendedahan teknologi terkini yang dihadapi oleh institusi pendidikan tinggi.
Persidangan ini juga menyaksikan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Mohamad Azhan Md. Amir memberi ucapan seterusnya merasmikan upacara penutup program.
Sasaran peserta terdiri daripada CDO/Pengarah IT universiti awam, MAPITA, Jabatan Digital Negara dan semua pentadbir IT di agensi kerajaan, universiti, politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian awam dan swasta. Persidangan ini berjaya menarik penyertaan 157 orang peserta dengan 29 jumlah kertas kerja telah berjaya dibentangkan oleh 27 orang pembentang dalam membincangkan hala tuju transformasi digital sektor pendidikan tinggi negara. Lebih menarik, persidangan kali ini turut melibatkan kertas kerja penyelidikan oleh ahli akademik universiti untuk dibentangkan.
Persidangan ini dikendalikan sepenuhnya menggunakan kepakaran dalaman dari PPKT sendiri termasuklah penggunaan Sistem Pengurusan Persidangan EZConf, Sistem EZreg (Pendaftaran Kod QR) dan Sistem Cabutan Bertuah yang dibangunkan secara dalaman oleh Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan USM. Usaha ini menggambarkan komitmen USM dalam menerapkan teknologi canggih yang dibangunkan secara dalaman.
Persidangan ICT4U 2024 ini bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk berkongsi ilmu, tetapi juga sebagai usaha untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, dan sektor swasta dalam memajukan teknologi digital. Penganjuran ini diharapkan agar dapat diteruskan dalam menyumbang kepada pembangunan industri ICT negara serta memperkasa institusi pendidikan tinggi untuk menghadapi cabaran digitalisasi global yang akan datang
Teks: Puan Nurzalina
Foto: Encik Taufik