Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

PPKT Kampus Kejuruteraan Menyantuni Lawatan dari UniSZA

lawatan unisza 1

Nibong Tebal, 18 April 2025 – Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan telah berbesar hati menerima kunjungan delegasi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu sesi lawatan rasmi yang penuh bermakna. Lawatan tersebut melibatkan seramai enam orang pegawai ICT dari UniSZA dan bertujuan untuk berkongsi pengetahuan serta membina jaringan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Lawatan ini dimulakan dengan sesi TechTalk Insight yang menampilkan dua topik utama yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa. Topik pertama bertajuk “Teknologi Makmal HiFlex by E-One” telah disampaikan oleh Mr. Leong Chen Woon dan Ms. Lew Chui Ling. Dalam pembentangan tersebut, mereka berkongsi bagaimana pendekatan HiFlex boleh memperkasa pengalaman pembelajaran hibrid melalui penyepaduan teknologi terkini di makmal pembelajaran. Topik kedua pula bertajuk “Cybersecurity Landscape” yang dibawakan oleh wakil dari Bitdefender Malaysia, iaitu Encik Mohd Hafizul bin Borhan, Senior Presales Manager. Sesi ini membuka minda peserta mengenai cabaran keselamatan siber semasa dan strategi terbaik dalam mempertahankan infrastruktur digital organisasi.

Selesai sesi perkongsian ilmu, para pelawat turut dibawa melawat ke kemudahan-kemudahan ICT yang terdapat di PPKT. Antara lokasi yang dilawati termasuklah Makmal Pengajaran berkapasiti 150 orang, yang dilengkapi kemudahan pembelajaran moden, serta Makmal Multimedia berkapasiti 50 orang, di mana satu sesi demonstrasi sistem VOI (Virtual Operation Interface) telah diadakan. Sistem ini digunakan bagi tujuan pengurusan makmal komputer secara efisien dan berpusat. Lawatan ini bukan sahaja memberi peluang untuk bertukar pandangan dan amalan terbaik, malah membuka ruang kerjasama strategik antara dua institusi pengajian tinggi ini dalam usaha memperkukuh transformasi digital di peringkat universiti. PPKT Kampus Kejuruteraan mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UniSZA atas lawatan ini dan berharap jalinan ini akan diteruskan pada masa akan datang melalui kolaborasi yang lebih mantap dan bermakna.

lawatan unisza 2

lawatan unisza 3

Teks : Puan Mashithah
Foto : Puan Mashithah