Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

Persidangan ICT4U 2.0 : Memperkasakan Transformasi Digital dalam Pendidikan Tinggi

ict4u2 01Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan sekali lagi telah berjaya menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan ICT4U 2.0 yang berfokus kepada memperkasakan transformasi digital dalam sektor pendidikan tinggi. Persidangan kali ini bertemakan “Foresighting Digital Evolution for Sustainable Education” yang telah berlangsung pada 18 hingga 19 September 2024 di Parkroyal Penang Resort.

ICT4U 2.0 adalah persidangan yang mengumpulkan pakar-pakar terkemuka, pengamal ICT, pendidik, dan pemikir-pemikir masa hadapan sebagaimana kita menyelami landskap dinamik evolusi digital dan kesan mendalamnya terhadap dunia pendidikan. Menerokai strategi, berkongsi pandangan dan menjadi sebahagian daripada dialog yang membentuk era pembelajaran seterusnya. Bersedia untuk membayangkan, menginspirasi dan menyemarakkan  perubahan dalam bidang pendidikan berteraskan teknologi digital. 

Persidangan ini telah menyaksikan pembentangan yang merangkumi topik-topik penting seperti Kecerdasan Buatan (AI), Infrastruktur Digital, Big Data, Keselamatan ICT dan konsep Kampus Pintar. Seiring dengan perkembangan teknologi dan kepentingan memperkasakan transformasi digital dalam pendidikan tinggi, topik yang dipilih ini dilihat berpotensi besar untuk mempercepatkan proses digitalisasi universiti awam dan swasta, memudahkan komunikasi serta penyampaian perkhidmatan pendidikan yang lebih cekap dan komprehensif.

Ketua Pengarah Jabatan Digital Negara, YBrs. Ts. Dr. Fazidah binti Abu Bakar turut hadir ke persidangan ICT4U 2.0 kali ini dan telah menyampaikan ucaptama bertajuk “Aspirasi Digital Sektor Awam” serta seterusnya merasmikan program.

Selain itu, forum yang bertemakan “Implementing A Digital Blueprint: Challenges & Best Practices” turut diadakan yang menampilkan panel-panel dari universiti awam, swasta dan juga industri. Forum ICT4U 2.0 disertai Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, Ketua Pegawai Digital USM yang menggalas tanggungjawab sebagai Moderator. Hasil perbincangan forum ini memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat serta idea dalam menangani cabaran dan pendedahan teknologi terkini yang dihadapi oleh institusi pendidikan tinggi.

Persidangan ini juga menyaksikan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Mohamad Azhan Md. Amir memberi ucapan seterusnya merasmikan upacara penutup program.

Sasaran peserta terdiri daripada CDO/Pengarah IT universiti awam, MAPITA, Jabatan Digital Negara dan semua pentadbir IT di agensi kerajaan, universiti, politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian awam dan swasta. Persidangan ini berjaya menarik penyertaan 157 orang peserta dengan 29 jumlah kertas kerja telah berjaya dibentangkan oleh 27 orang pembentang dalam membincangkan hala tuju transformasi digital sektor pendidikan tinggi negara. Lebih menarik, persidangan kali ini turut melibatkan kertas kerja  penyelidikan oleh ahli akademik universiti untuk dibentangkan.

Persidangan ini dikendalikan sepenuhnya menggunakan kepakaran dalaman dari PPKT sendiri termasuklah penggunaan Sistem Pengurusan Persidangan EZConf, Sistem EZreg (Pendaftaran Kod QR) dan Sistem Cabutan Bertuah yang dibangunkan secara dalaman oleh Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan USM. Usaha ini menggambarkan komitmen USM dalam menerapkan teknologi canggih yang dibangunkan secara dalaman.

Persidangan ICT4U 2024 ini bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk berkongsi ilmu, tetapi juga sebagai usaha untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan, dan sektor swasta dalam memajukan teknologi digital. Penganjuran ini diharapkan agar dapat diteruskan dalam menyumbang kepada pembangunan industri ICT negara serta memperkasa institusi pendidikan tinggi untuk menghadapi cabaran digitalisasi global yang akan datang

ict4u2 02ict4u2 03ict4u2 04ict4u2 05ict4u2 06ict4u2 07

Teks: Puan Nurzalina
Foto: Encik Taufik

PROGRAM INDUSTRIAL HARMONY INDEX SELF-ASSESSMENT 2024 "SHAPING YOUR FUTURE WITH INDUSTRIAL HARMONY, JABATAN PERHUBUNGAN PERUSAHAAN PULAU PINANG

industrial harmony 2024

NIBONG TEBAL, 22 Ogos 2024 (Khamis) – Satu program yang bertemakan Industrial Harmony Index Self-assessment 2024 "Shaping Your Future With Industrial Harmony" yang terdiri daripada majikan dan pekerja dalam pelbagai sektor telah dianjurkan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Pulau Pinang bertempat di Makmal Multimedia dan Makmal Pengajaran, PPKT Kampus Kejuruteraan pada 22 Ogos 2024.

industrial harmony 2024 2

Program ini berlangsung selama 1 hari bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang dan telah disertai oleh seramai 120 orang peserta dari pelbagai sektor dan merupakan latihan penggunaan sistem untuk pentadbir.
Alhamdulillah program ini dapat dijalankan dengan jayanya dengan kerjasama penyediaan logistic dari PPKT Kampus Kejuruteraan. Terima kasih buat majikan dan wakil pekerja yang hadir menjayakan program ini. Diharapkan program sebegini dapat memberikan manfaat kepada semua pada kali ini dan pada masa akan datang.

industrial harmony 2024 3

 

Teks: Puan Jamaliah
Foto: Puan Jamaliah

KURSUS LATIHAN KEPADA PENTADBIR MyGPKI ZON UTARA TAHUN 2024 - HUMANCAP

sewaan ppkt3

NIBONG TEBAL, 11 Julai 2024 (Khamis) – Program latihan kepada pentadbir Perkhidmatan Prasarana Perkhidmatan Kunci Awam Kerajaan (MyGPKI) zon utara tahun 2024 – HUMANCAP telah di adakan telah diadakan di Makmal Multimedia dan Makmal Pengajaran, PPKT Kampus Kejuruteraan.

sewaan ppkt1

sewaan ppkt2

Kursus ini berlangsung selama 1 hari iaitu bermula jam 8.00 pagi hingga 5.10 petang dan telah disertai oleh seramai 65 org peserta dari pelbagai sektor kerajaan untuk latihan pentadbir Perkhidmatan Prasarana Perkhidmatan Kunci Awam Kerajaan (MyGPKI) Zon Utara Tahun 2024 – HUMANCAP.

Alhamdulillah program ini dapat dijalankan dengan jayanya hasil dari kerjasama dari AJK Sewaan Makmal staf PPKT dalam dalam membantu fasiliti yang diperlukan sepanjang program itu berlangsung.

Teks: Puan Jamaliah
Foto: Puan Jamaliah

PROGRAM PENANAMAN SATU JUTA POKOK DI NEGERI PULAU PINANG

sewaan ppkt3

NIBONG TEBAL, 22 April 2024 (Isnin) – Sempena menyokong Program Penanaman 1 Juta Pokok Dalam Sehari di Pulau Pinang sempena Hari Bumi 2024 anjuran Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, semua kakitangan PPKT Kampus Kejuruteraan turut serta dalam program berkenaan dan telah menanam di kawasan berumput berhadapan dengan parkir PPKT, Kampus Kejuruteraan.

tanam pokok 2024 1


Program menanam pokok secara besar-besaran yang berlangsung serentak di seluruh Pulau Pinang hari ini bertujuan untuk menggalakkan rakyat Pulau Pinang menyumbang kepada kehijauan alam sekitar di negeri ini serta melengkapkan inisiatif kerajaan negeri dalam mencapai sasarannya iaitu melaksanakan matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selaras dengan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).

Teks: Puan Jamaliah
Foto: En Hishammudin

SARINGAN KESIHATAN “PROGRAM SIHAT PPKTFIT ENG"

PPKTFIT SIHAT 2024

Nibong Tebal, 16 Mei 2024 (Khamis) – Satu aktiviti saringan kesihatan anjuran PPKT FIT ENG telah berlangsung bertempat di Studio Telesidang PPKT. Seramai 23 orang staf yang hadir melakukan saringan.

Berdasarkan Tinjauan NHMS 2019, "Prevalens kencing manis atau diabetes di Malaysia adalah tertinggi di Asia Tenggara di mana negara mencatatkan peningkatan ketara daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 18.3 peratus pada 2019.

Sebanyak 50 peratus daripada penduduk Malaysia menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi. Didapati 1 daripada 4 orang dewasa adalah tidak aktif fizikal. Di mana 28% adalah golongan wanita, 59% berumur 75 tahun ke atas, 39% adalah di kalangan pelajar dan 27% daripada lokaliti bandar.

Tanpa pencegahan dan kesedaran untuk melakukan saringan kesihatan secara rutin, ramai yang tidak mengetahui status kesihatan mereka. Akibatnya, berkemungkinan untuk mendapat komplikasi daripada penyakit NCD seterusnya mengganggu kualiti hidup seseorang. Antara penyebab kematian yang utama di Malaysia adalah penyakit kardiovaskular seperti angin ahmar,strok atau penyakit jantung.Selain itu penyakit NCD tersebut juga boleh menyebabkan komplikasi kemerosotan dan kegagalan buah pinggang dan lain lagi.

Selaras inisiatif baik di USM dalam menjayakan Kampus Sejahtera matlamat SDG 3 iaitu memastikan staf sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua lapisan umur. PPKT FIT mengambil peluang dengan mempromosikan saringan kesihatan dalam kalangan staf PPKT yang membolehkan staf mengekalkan kesejahteraan di samping mengambil tindakan intervensi yang bersesuaian dengan tahap kesihatan masing-masing.

saringan kesihatan 2024 1

saringan kesihatan 2

Teks Disediakan oleh:
Sharifah Shakila Binti Md Saad
Pengerusi PPKT FIT ENG Kampus Kejuruteraan.