Skip to main content

Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi USM Kejuruteraan

JUARA PERTANDINGAN KIK HORIZON BAHARU HIBRID - PASUKAN JEJAK SAMUDERA

MINDEF, KUALA LUMPUR 19 JANUARI 2023 (KHAMIS) - Pasukan Jejak Samudera telah menjuarai Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu kategori KIK Hibrid Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2023. Pasukan tersebut terdiri daripada No 16. Skuadron, TUDM, Subang, En Mohamad Zihad Mahmud, Pegawai Latihan Vokasional, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, USM dan En Mohd Jamil Kasim, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan USM. Hadiah tempat pertama merupakan wang tunai RM 5000.00, piala dan sijil.

Konvensyen bermula dari 13 hingga 19 Januari 2023. Majlis penyampaian hadiah diadakan pada 19 Januari 2023. Minggu Inovasi adalah bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada usaha dan hasil yang telah dicapai oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif Sektor Awam dan Tentera di seluruh negara. Ianya juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada warga Kementerian Pertahanan tentang pentingnya pemikiran kreatif dan berinovatif dalam melaksanakan tugasan harian.

Projek Knight Bi-Electronic Management System (K-BEMS) adalah ciptaan inovasi KIK hibrid pasukan Jejak Samudera. Projek ini disasarkan untuk menjimatkan kos penyelenggaraan simpanan enjin pesawat Beechcraft B200T yang diselenggara dan dioperasikan oleh Skuadron 16, TUDM. Penjimatan disasarkan sehingga RM70 juta bagi penggunaan alat ini yang telah digunapakai di bahagian operasi skuadron 16, TUDM. Sistem ini juga digunakan pada peralatan simulator pesawat, stor asset dan juga elektronik.

K-BEMS telah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada 10 Mac 2022. Sistem ini telah diperluaskan penggunaannya ke 7 pangkalan utama TUDM iaitu Sungai Besi, Lumut, Subang, Sendayan, Gong Kedak, Kuantan, Alor Setar, Labuan dan Kuching. Selain itu ia telah digunakan oleh 3 syarikat industri pertahanan iaitu Zetro Sdn Bhd, AIROD Sdn Bhd dan Aerotree Sdn Bhd. Sebanyak 58 kumpulan turut serta bertanding dalam kategori yang lain seperti Kategori KIK Primer dan Kategori KIK Hibrid.

Kerjasama dan saling bantu-membantu di antara agensi kerajaan ini perlulah diteruskan dan diterapkan dalam kalangan setiap warga organisasi agar semangat ini akan membawa kepada kejayaan dalam satu-satu perkara dan memberi manfaat kepada negara yang kita cintai.

image1
Pasukan Jejak Samudera menjuarai kategori hibrid dengan produk K-BEMS.

image2

image3
Pasukan Jejak Samudera bersama Mej Jen Hishammuddin bin Abdul Rahman TUDM, AKS Kejuruteraan (Tengah), Kol Samsuri Bin Abu Bakar, Pengarah Pembangunan MTU Kejuruteraan (tengah kiri) dan Pegawai Memerintah No 16 Skuadron Lt Kol Mohamad Zaini Bin Zainorin (tengah berkaca mata kanan) di Booth TUDM di Pameran Kementerian Pertahanan, MINDEF.

image4
YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Team KIK Hybrid Jejak Samudera.

image5
Yang Berhormat Tuan Haji Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia bersama Team KIK Hybrid Jejak Samudera.

image6
Simbolik perasmian semasa majlis berlangsung.

Teks : Puan Shariza Sharuddin & Encik Jamil Kasim
Foto : Encik Jamil Kasim

SISTEM EPILIH ONLINE - PEMILIHAN MPPUSM

MINDEN, 2 DISEMBER 2022 (JUMAAT) – Pemilihan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang 2022/2023 telah berjalan dengan lancar. Bermula pada tahun lepas, pihak Universiti telah bersetuju untuk menggunakan kaedah pemilihan secara atas talian sepenuhnya yang dibangunkan oleh Seksyen Aplikasi, Web dan Multimedia, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan. Sistem ini juga mendapat sokongan yang jitu daripada PPKT Kampus Induk dan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA).

Sistem ePilih dibuka bermula pada 8.30 pagi sehingga 5.00 petang kepada semua pemilih yang layak untuk memilih. Sebanyak 14,335 pelajar didaftarkan sebagai pemilih untuk Kampus Induk dan Kampus Kesihatan. Manakala pelajar dari Kampus Kejuruteraan tidak mengundi pada kali ini kerana calon telah menang tanpa bertanding. Pemilihan dikendalikan oleh jawatankuasa yang dilantik di kalangan pelajar.

Sebelum melaksanakan aktiviti pemilihan, pemilih boleh menyemak kelayakan pemilih dengan menggunakan Semakan Daftar Pemilih secara atas talian yang dibuka bermula jam 12 tengahari pada 29 November 2022. Semakan Daftar Pemilih memaparkan tarikh dan masa yang telah ditetapkan untuk memilih. Senarai calon bagi Konstituensi Umum dan Konstituensi Pusat Pengajian pemilih juga dipapar untuk pemilih melihat maklumat terperinci calon.

Setelah selesai pemilihan dijalankan, keputusan telah diumumkan pada jam 7.02 malam oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Binti Azman. Diharap semoga kelancaran dan kejayaan pemilihan pada kali ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

epilih2022 1
Statistik Peratusan Pemilih Memilih

epilih2022 1
Wakil daripada Jawatankuasa Keutuhan semasa semakan keutuhan sistem.

epilih2022 2
Jawatankuasa pelajar mencetak keputusan sebelum pengumuman rasmi.



Teks : Puan Shariza Sharuddin
Gambar : Puan Shariza Sharuddin

 

LAWATAN PENANDA ARAS KE USIM DAN UPM

image1image2

NILAI, NEGERI SEMBILAN 1 NOVEMBER 2022 (SELASA) - Lawatan Penanda Aras anjuran Seksyen Korporat, Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan telah berjaya dilaksanakan pada tahun ini. Seramai 14 orang delegasi daripada PPKT, Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Encik Mazlifendirizan bin Mohd Rejab, Penyelaras PPKT telah mengunjungi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Setibanya di sana, delegasi PPKT telah disambut mesra oleh Ts. Khadijah Chamili, Pengarah System Development and Engineering Centre (SDEC) dan beberapa orang staf. Beliau telah memberi taklimat pengenalan, sejarah penubuhan SDEC dan bahagian-bahagian di bawah seliaannya. Antaranya ialah Bahagian Governan dan Strategik, Bahagian Aplikasi Akademik dan Portal, Bahagian Aplikasi Korporat dan Kewangan, Bahagian Infrastruktur ICT serta Bahagian Multimedia dan Teknologi Pengajaran. Pihak PPKT telah dibawa melawat bilik pelayan, bilik rakaman dan makmal komputer.

Manakala pada hari Rabu, 2 November 2022 pula, PPKT berkesempatan melawat Pusat Pembangunan Maklumat Dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Delegasi PPKT telah disambut mesra oleh Ts. Norazlin Yusof, Timbalan Pengarah (Dasar dan Pendigital ICT), Ts. Syemsul Bahrim Abdul, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan ICT) serta ketua-ketua bahagian iaitu Bahagian Kampus Pintar dan Pendigitalan, Bahagian Infastruktur ICT, Bahagian Pembangunan Aplikasi dan Bahagian Operasi Aplikasi.

Encik Mazlifendirizan berterima kasih kepada USIM dan UPM kerana sudi menerima kunjungan dari PPKT. PPKT juga berbesar hati dan mengalu-alukan kunjungan balas dari pihak USIM dan UPM di lain kesempatan.

Penutup majlis diraikan dengan pemberian cenderahati oleh PPKT kepada pihak USIM dan UPM. Diharap dengan perkongsian informasi dan aktiviti pengurusan ICT ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

image3image4

PPKT Kejuruteraan Menyertai Konvensyen KIK Peringkat USM

 KonvensyenKIK2022

NIBONG TEBAL, 5 JULAI 2022 – Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) , Peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan secara atas talian. Konvensyen ini dianjurkan oleh Pusat Transformasi Insan (PTJ), Jabatan Pendaftar USM. Terdahulu, Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali telah memberi ucapan pembukaan dan seterusnya merasmikan konvensyen kali ini.

Baca selanjutnya: PPKT Kejuruteraan Menyertai Konvensyen KIK Peringkat USM